Thursday, May 21, 2009

Risiko penyakit wanita berumur

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

MENJADI tua adalah hakikat yang perlu dilalui oleh setiap wanita di muka bumi ini. Ia merupakan satu proses semula jadi dalam kitaran hidup manusia.
Kedutan pada wajah, hilang keanjalan kulit dan rambut ditumbuhi uban sememangnya tidak mampu dielak, namun apalah sangat proses penuaan tersebut jika dibandingkan dengan rasa sihat dan bebas daripada sebarang penyakit pada usia 'subsidi' tersebut.
Cara yang baik untuk terus sihat dan cergas, walaupun usia telah meningkat, adalah dengan menjaga badan dan fikiran supaya selalu aktif. Apa yang penting bagi seorang wanita ialah menjadi sihat dan kekal cantik pada kelas usianya tanpa sebarang penyakit.


Bagaimanapun, kebanyakan wanita berkerjaya sering mengabaikan kesihatan diri sendiri kerana terlalu menumpukan kepada kerja, pasangan dan anak-anak. Amat menyedihkan apabila penyakit yang dihidapi dikesan terlalu lambat dan rawatan agak sukar untuk memulihkan keadaan seperti dulu.
Pokoknya, pilihan terletak pada tangan kita kerana pengesanan awal mampu merubah kehidupan kepada yang lebih baik, bak kata pepatah, 'tepuk dada tanya selera.'


Memahami isu kesihatan wanita

Pepatah 'mencegah lebih baik daripada merawat' memang bertepatan dengan apa yang ingin diuar-uarkan dalam bengkel kesihatan wanita bertajuk Timeless Women, anjuran Weber Shandwick yang disokong oleh Novartis ini.

Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita, suami dan anak-anak.Keempat-empat peringkat ini ialah 18 hingga 30 tahun; 30 hingga 50 tahun; 50 hingga 70 tahun; dan 70 tahun ke atas. Kategori umur masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza.

Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar berkata, bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser pangkal rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis.
"Kanser payu dara masih menjadi penyakit utama wanita di seluruh dunia. Ujian mamogram amat disarankan kepada wanita berusia 50 tahun ke atas, bagaimanapun wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidapi kanser payu dara dinasihatkan menjalani ujian ini pada usia antara 40 ke 49 tahun," ujarnya ketika menyampaikan taklimat pada bengkel bertajuk Timeless Woman di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.


Dr. Nor Ashikin berkata, selain mamogram, kaedah pemeriksaan payu dara sendiri (BSE) membantu wanita mengesan keganjilan pada payu dara mereka.
"Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar dari puting, kadang kala mengandungi darah. Jika ada benjolan, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Usah tunggu benjolan menjadi sakit kerana risiko penyakit bertambah buruk sangat tinggi," ujar Pengasas dan Pengarah Eksekutif Primanora.
Satu lagi penyakit yang digeruni wanita ialah kanser pangkal rahim. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan menunjukkan kanser tersebut merupakan kedua tertinggi dengan jumlah 12.9 peratus atau 20 kes daripada 100,000 penduduk.


Dr. Nor Ashikin berkata, kanser kedua pembunuh wanita ini semakin berisiko seiring dengan penambahan usia seseorang wanita."Wanita yang melakukan seks pada usia muda atau mempunyai ramai pasangan dan tidak mempunyai perlindungan ketika mengadakan seks, berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit ini," katanya.

Dr. Nor Ashikin berkata, barah yang disebabkan oleh kuman human papiloma virus (HPV) ini boleh berada dalam tubuh seorang wanita dari berbulan hingga bertahun-tahun lamanya hinggalah ia bertukar menjadi sel barah."Gejala seperti pendarahan selepas melakukan hubungan seks adalah petanda barah ini. Ada masanya, pendarahan tersebut berlarutan hingga menyebabkan anemia atau penyakit kurang darah. "Simptom lain adalah seperti kesukaran bernafas, mudah penat dan berbau busuk pada vagina. Jika simptom tersebut berterusan ia boleh melarat pada pundi kencing dan seterusnya mengakibatkan kencing berdarah," jelasnya.
Dr. Nor Ashikin menyarankan wanita yang aktif dalam hubungan seks agar menjalani ujian pap smear yang boleh mengesan sel tidak normal yang mungkin boleh menjadi punca kanser.


Dr. Nor Ashikin menambah, kesihatan organ reproduktif harus dipandang serius oleh setiap wanita kerana pengabaiannya mampu merosakkan kemampuan wanita dalam menjalani seksual yang sempurna.Dengan pendedahan secukupnya, seorang ibu boleh mula membawa anak perempuannya melalui pemeriksaan pakar ginekologi selepas tiga tahun dia mengalami haid yang pertama. Pemantauan kesihatan organ reproduktif ini boleh mengenalpasti dan mengesan sekiranya berlaku sesuatu keganjilan pada organ tersebut.

Tidak ketinggalan, seorang ibu yang meningkat usia, akan melalui fasa menopaus. Ia satu proses semula jadi dan penting dalam kehidupan setiap wanita."Setiap bayi perempuan yang dilahirkan telah mempunyai beberapa jumlah telur dalam ovarinya. Ovari mengeluarkan hormon estrogen dan progesteron yang juga merangsang penghasilan haid dan kesuburan."Apabila usia meningkat, ovari tidak lagi mengeluarkan telur dan pengeluaran hormon turut terhenti, ketika inilah dikatakan proses menopaus berlaku," jelasnya.

Dr. Nor Ashikin berkata, menopaus adalah proses yang berlaku secara perlahan-lahan dan diiringi beberapa gejala seperti selaran kepanasan, perubahan emosi, kekeringan dan sukar tidur malam."Wanita yang telah menopaus selama beberapa tahun berkecenderungan menghidapi penyakit osteoporosis, masalah jantung, lemah pundi kencing, lemah daya ingatan, hilang keanjalan kulit dan otot serta masalah penglihatan," katanya.

Wanita mesti bersedia menghadapinya dan mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan penyakit yang berkaitan dengan proses selepas menopaus.Selain penyakit yang melibatkan organ wanita, Dr. Nor Ashikin memberitahu, wanita juga berisiko menghidap serangan jantung.
Sakit jantung menjadi faktor utama kematian lelaki dan wanita di seluruh dunia termasuk 22.5 peratus penyebab kematian wanita Malaysia ialah sakit jantung.
"Apabila wanita mencapai umur 50 tahun, dia mudah diserang sakit jantung. Wanita yang mengalami menopaus, peningkatan umur, sejarah keluarga, merokok, kandungan kolestrol yang tinggi dan kurang aktiviti fizikal berisiko menghidap menyakit ini," jelasnya.
Bagi menjaga kesihatan jantung, wanita perlu mengurangkan atau menjauhi asap rokok, menjaga berat badan, bersenam sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit untuk lima kali seminggu, berdiet dan merawat atau kawal aras gula dalam darah (diabetes), kolestrol dan tekanan darah.


Sumber : Utusan Malaysia

Saturday, May 16, 2009

Kebersihan kunci kawal wabak

Oleh NURUL ANUAR KARI

WABAK menjadi satu perkataan utama di kalangan media cetak dan elektronik bulan ini berikutan kemunculan virus baru di Mexico dan juga kes meningitis di Melaka. Namun, ini bukan kali pertama negara, dan juga dunia, digemparkan dengan berita wabak pandemik dengan kemunculan virus Nipah, Japanese encephalitis (JE) dan selesema burung H5N1.
Apa yang lebih penting untuk difahami umum adalah penularan penyakit berjangkit bawaan virus mahupun bakteria ini bukan hanya berkaitan isu bawaan haiwan, tetapi turut berkait rapat dengan tahap kebersihan diri dan persekitaran.


Bersih untuk selamat

Sebelum ini kita dimaklumkan bagaimana selesema burung H5N1 mudah disebarkan melalui bangkai dan najis haiwan dijangkiti. Influenza A H1N1 yang sebelum ini dikenali sebagai selesema babi pula dikaitkan dengan haiwan yang dikenali hidup dalam kotoran, dan menjadi hos kepada bermacam jenis penyakit haiwan dan manusia.

Terbaru, meningitis pula muncul yang berpunca daripada penyebaran kuman pada permukaan yang tercemar, dari pesakit kepada individu lain. Jelas sekali ketiga-tiga penyakit ini berjangkit melalui 'kekotoran', dan lebih penting lagi ia sebenarnya boleh dicegah dan dikawal daripada terus merebak.

Untuk kes selesema (flu) H5N1 atau H1N1, tidak banyak yang boleh dibuat untuk kaedah penyebaran melalui udara virus influenza, tetapi penyebaran melalui sentuhan fizikal dapat dielakkan dengan menjauhkan diri daripada bangkai atau najis haiwan yang dijangkiti. Secara mudahnya, jauhkan ladang ternakan haiwan dari penempatan manusia dan pastikan sisa najis mana-mana haiwan sekalipun tidak dibuang berhampiran atau mencemari sumber air. Dari segi pemakanan daging haiwan terbabit, virus tersebut dapat dibunuh jika daging dibersihkan dan dimasak dengan elok.

Meningitis melibatkan isu kebersihan persekitaran yang boleh menyebarkan kuman dari pesakit kepada individu sihat. Beberapa virus dan bakteria punca meningitis boleh dicegah melalui pengambilan vaksin tetapi untuk yang selebihnya, penjagaan kebersihan adalah cara pencegahan terbaik.

Mencegah atau mengubati

Permukaan rata seperti meja, kerusi, peralatan kerja mahupun rel tangga (pejabat, pengangkutan awam, rumah) boleh dicemari kuman dari pesakit melalui cecair badan. Kuman dari cecair badan pesakit boleh memasuki badan individu sihat melalui luka, mata atau melalui salur penghadaman.

Penyakit berjangkit juga tidak semestinya hanya yang menggemparkan dunia tetapi turut melibatkan kuman biasa punca keracunan makanan (salmonella, kolera) mahupun yang disebar air banjir (leptospirosis). Kes keracunan makanan juga sering kali berlaku di sekolah dan juga di gerai atau restoran kotor yang kebanyakannya tidak dilaporkan.

Asas mudah kuman merebak melalui 'kekotoran' menunjuk kepada asas mudah pencegahan iaitu menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Tindakan membasuh tangan menjadi asas utama dalam pencegahan penyakit berjangkit kerana tangan banyak memegang permukaan yang mudah dicemari dan tangan juga memindahkannya ke muka, mata, ke dalam mulut mahupun kepada individu lain.

Namun, membasuh tangan dengan air sahaja mungkin tidak mencukupi. Gunakan sabun antiseptik selagi boleh bagi mempastikan kuman pada permukaan tangan dan juga di bawah kuku dihapuskan. Tabiat mencuci tangan juga perlu dilakukan sebelum dan selepas menjalankan sebarang aktiviti, termasuklah makan, ke tandas, bersenam atau memegang permukaan tertentu di tempat awam.

Pihak berkuasa, pihak pengusaha perkhidmatan awam, pengurusan bangunan dan juga pengusaha restoran juga perlu mengambil langkah yang paling mudah dengan membersihkan sekerap mungkin permukaan yang sering disentuh orang ramai, di samping menyediakan produk antiseptik di tandas dan tempat mencuci tangan. Tempat tumpuan awam bukan sahaja perlu sentiasa dibersihkan dari sampah-sarap malahan dibersihkan dari kuman pada permukaan meja, rel tangan mahupun peralatan untuk kerja dan makan yang boleh menyebarkan virus mahupun bakteria punca penyakit.

Asas mudah kebersihan juga menekankan menjaga adab di tempat awam. Jangan batuk atau bersin ke arah orang lain atau meludah di merata tempat. Gunakan tisu, sapu tangan atau tutup mulut dengan tangan jika batuk atau bersin bagi mengelakkan penyebaran kuman kepada orang di sekitar anda. Dan paling penting, jangan lupa membasuh tangan anda supaya tidak pula disebarkan pada permukaan lain jika hingus di tangan disapu ke rel tangan atau permukaan meja.

Penyakit sememangnya mudah merebak, tetapi ianya juga bukan mustahil untuk dikawal atau dicegah. Pastikan anda memilih kebersihan dalam hidup dengan asas mudah, jaga adab, pilih yang bersih dan basuh tangan anda.

Sumber : Utusan Malaysia

Friday, May 15, 2009

Obesiti punca sindrom kaki lenguh

Oleh : SHANIKA ABDULLATIB

BUKAN saja menjejaskan organ jantung, obesiti juga berupaya memberi risiko terhadap kaki pesakit. Pakar neurologi berpendapat mereka yang menghidap obesiti terutama di bahagian perut berisiko mengalami sindrom kelenguhan kaki atau RLS.

RSL merupakan keadaan di mana kaki pesakit terus berasa lenguh walaupun mereka sedang relaks. Ini disebabkan oleh keadaan saraf yang tidak dapat mengawal pergerakan kaki untuk berehat.

EKSTRA: Hendak membantu kanak-kanak turunkan berat badan? Berikan mereka lebih banyak air kosong berbanding minuman bergas atau soda, kata Dr. Claire Wang dari Universiti Columbia di New York.

Sumber Dari : Kosmo

Tuesday, May 12, 2009

Mulut Berbau

Adakah anda pernah menghadapi masalah mulut berbau? Pasti ramai yang berasa kurang selesa apabila mulut kita berbau ataupun orang yang terdekat dengan kita menghadapi masalah ini.Memang memalukan terutama apabila kita berbual dengan seseorang dan kemudian dia cuba berpaling dari kita kerana tidak tahan bau mulut kita yang berbau.Sekiranya anda kurang tahu bahawa mulut anda berbau atau tidak cuba buat cara ini semburkanlah nafas anda ke tapak tangan yang menghadap ke hidung anda dan jika nafas anda berbau anda akan dapat menghidunya.Cara kedua semburkan nafas anda ke anak kecil selepas itu tanya mereka samada berbau atau tidak selalunya anak-anak yang kecil ini tidak menipu dan jujur bila berkata.

Bau mulut ini tidak boleh hilang jika hanya menguyah gula-gula getah perasa mint, mengosok gigi secara teratur dan berkumur dengan cairan pengharum nafas sahaja kerana bau mulut ini bukanlah penyakit tetapi adalah gejala suatu penyakit.Ia mungkin berpunca dari gigi,sinus,tonsil atau peradangan usus dan adanya hiatus hernia iaitu kantung di dalam perut yang menyebabkan makanan berkumpul di dalamnya dan mengakibatkan bau yang tidak enak.

Faktor-Faktor penyebab bau mulut.

1.Makanan-sisa-sisa makanan yang terlekat pada gigi juga boleh mendatang bau mulut

2.Gigi -Masalah kesihatan gigi juga menyebabkan nafas tidak sedap kerana apabila sisa makanan terlekat pada gigi atau gusi munculnya bakteria penyebab bau yang akan menimbulkan iritasi pada gusi dan menyebabkan gigi buruk dan berbau.Memakai gigi palsu yang tidak bersih dan tidak bagus pada tempatnya juga boleh jadikan mulurt berbau busuk.

3.Mulut Kering -Air liur mambantu kita membersihkan mulut .Mulut yang kering akan akan menyebabkan sel sel mati berkumpul pada lidah dan gusi dan sel sel ini akan membusuk dan muncullah bau yang kurang enak itu.Merokok dan ubat-ubatan tertentu penyebab mulut kering.

4.Penyakit - Penyakit yang dapat menyebabkan bau ialah seperti infeksi kronis pada paru-paru,kerosakan buah pinggang dan kerosakan hati dan diabetes.

Cara mengurangkan bau mulut

1.Gosok gigi selepas makan
2-Gunakan dental floss sekurang-kurangnye sekali sehari untuk buang sisa makan di celah-celah gigi
3.Lidah juga harus diberus terutama di bahagian belakangnya untuk menghilangkan sel-sel mati,bakteria dan sisa makanan
4.Jika memakai gigi palsu atau kawat gigi perlulah membersihkan minima sekali sehari
5.Minum air putih banyak dan hindari minuman alkohol,kopi dan soda agar mulut tetap basah.Gantilah berus gigi setiap 2 atau 3 bulan sekali.
6.Periksalah gigi anda ke doktor minima setiap 6 bulan sekali.



Cegah dan kawal penyakit wanita

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

KITA sering mengungkap kasih ibu membawa ke syurga. Sentuhan ibu juga yang mengeratkan hubungan anak serta membina kesejahteraan keluarga. Bukan itu sahaja, peranan wanita yang bergelar ibu cukup besar dalam menguruskan rutin keluarga, malahan, mereka yang bekerja terpaksa menguruskan dua tugas setiap hari.

Walaupun masa mereka terhad, seorang ibu akan berusaha melaksanakan tugas di rumah dan pejabat dengan sempurna. Di sebalik wajah yang tabah dan tenang, golongan ini tidak akan lari daripada risiko serangan penyakit berbahaya. Bahkan, peranan seorang ibu bukan sedar mendidik atau membesarkan anak tetapi dia merupakan wanita pertama yang hadir dalam hidup setiap insan. Ibu jugalah mengandungkan kita selama sembilan bulan dan kita menghuni rahimnya, sebelum kita melihat dunia. Tidak hanya itu, ibu jugalah yang bertarung nyawa, menjaga, membelai, membesarkan dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kita yang bergelar anak.

Hakikatnya, membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga memang memenatkan buat wanita moden kini. Ada kalanya tiada masa untuk memikirkan diri sendiri.Ada juga yang mengambil berat soal kesihatan tetapi terlalu sibuk untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kandungan khasiat pada label makanan. Ada juga yang tidak pasti jika ia membekalkan pelbagai khasiat diperlukan untuk kehidupan seharian.Kekurangan khasiat penting boleh mengakibatkan seseorang itu tidak mampu berfungsi pada tahap sewajarnya. Ia boleh menyebabkan keletihan, mudah dijangkiti penyakit dan tiada rangsangan untuk melakukan kerja seharian.

Apabila tahap tenaga semakin rendah, kita sangat mudah untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan ini menganggu gaya hidup wanita.Emosi wanita sebagai isteri, ibu dan pengurus rumah tangga mempunyai pengaruh besar kepada seisi keluarga. Masalah akan bertambah teruk jika suami dan anak tidak faham apa yang dilalui wanita sehingga ada yang mengalami tekanan dan kemurungan.Jadi wanita berkemungkinan berasa rendah diri atau malu kerana mereka mempunyai gejala penyakit seperti gangguan hormon ketika kehamilan, menopaus dan sebagainya hingga gangguan emosi.

Sempena hari ibu yang jatuh pada hari ini, seisi keluarga perlu memahami penyakit-penyakit yang boleh menyerang seorang ibu.Tidak hanya meraikan hari istimewa ini di tempat-tempat makan malam seperti hotel, namun sebagai suami dan anak, anda perlu memahami keperluan kesihatan ibu. Pencegahan awal dan penjagaan berterusan kesihatan ibu amat penting untung membina kesejahteraan keluarga dan membendung kemurungan emosi golongan ini.
Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita.Keempat-empat peringkat ini termasuk 18 hingga 30 tahun, 30 hingga 50 tahun, 50 hingga 70 tahun dan 70 tahun ke atas.


Masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza.Bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis.Namun, terdapat juga penyakit puan lain yang sering dialami seperti penyakit seksual dan mata.Kehadiran penyakit ini dalam diri wanita memberi impak terhadap emosi wanita kerana ketidakstabilan perasaan.

Sumber : Utusan Malaysia

Saturday, May 2, 2009

Ancaman Virus Selesema Babi

Oleh LAUPA JUNUS

Kajian sampel mengenal pasti jenis virus selesema yang dijalankan di Makmal Kesihatan awam di California, Amerika Syarikat.

Selepas dikejutkan dengan Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah yang disebarkan daripada babi, demam Coxsackie, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kini selesema babi menjadi ancaman terbaru penduduk negara ini.

Kemunculan virus selesema babi H1N1 di dalam babi dan juga manusia di Mexico baru-baru ini yang berupaya menyebabkan jangkitan yang membawa maut menunjukkan sejarah mungkin berulang kerana pandemik virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) juga disebabkan oleh virus selesema H1N1.

Tetapi yang uniknya, virus selesema babi H1N1 Mexico muncul dari campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan juga manusia.

Berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang beribu pejabat di Geneva dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, virus selesema babi H1N1 yang ditemui di Mexico baru-baru ini dan di beberapa negeri di Amerika Syarikat, Kanada dan Sepanyol merupakan virus selesema babi H1N1 yang baru, yang belum pernah ditemui sebelum ini.

Virus babi H1N1 ini mempunyai profil genetik (campuran gen) yang unik yang belum pernah ditemui dalam mana-mana haiwan atau manusia sebelum ini.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Omar. Menurut beliau, pada lazimnya, virus selesema babi H1N1 yang ditemui sebelum ini hanya mampu menyebabkan jangkitan yang ringan hingga sederhana pada salur pernafasan dan/atau paru-paru babi yang dijangkiti.

''Bagaimanapun virus tersebut (H1N1) berupaya menyebabkan kadar jangkitan tinggi yang boleh mencecah 100 peratus, meskipun kadar kematiannya adalah rendah," katanya.
Beliau berkata, manusia terutamanya pekerja di ladang babi yang dijangkiti dengan virus H1N1 boleh dijangkiti dengan virus ini, namun jangkitannya tidak berbahaya sekiranya tiada komplikasi.

Tanda klinikal yang kerap berlaku ekoran jangkitan virus selesema babi H1N1 pada manusia adalah demam, selesema, sakit tekak dan batuk selama beberapa hari.
Oleh kerana keupayaan tinggi virus selesema melakukan proses mutasi dan campuran genetik, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya ternakan seperti babi, ayam, itik dan spesies burung lain tidak dipelihara bersama.

Ini kerana ia boleh membawa kepada pembentukan virus selesema bersifat pandemik kepada manusia dan virus highly pathogenic avian influenza (HPAI) yang boleh menjangkiti ayam dan juga manusia.

Di samping itu, babi merupakan perumah unik yang boleh berfungsi sebagai mixing vessel bagi kemunculan virus selesema yang berupaya menyebabkan pandemik selesema manusia.
''Ini adalah kerana saluran pernafasan babi mempunyai reseptor bagi menyokong proses replikasi virus selesema dari babi, burung dan juga manusia," kata Dr Abdul Rahman.
Katanya, epidemik selesema dikenal pasti apabila berlakunya peningkatan kematian akibat daripada penyakit selesema dan juga kes radang paru-paru (pneumonia) secara mendadak.
Virus selesema pandemik manusia muncul apabila gen virus selesema haiwan sama ada daripada burung atau babi, yang sebelum ini tidak dijumpai pada manusia secara umum, bercantum dengan virus selesema manusia dalam cantuman genetik yang membolehkan virus campuran berupaya merebak dengan efisien dari manusia ke manusia.

Berdasarkan sejarah, virus selesema yang merebak ke seluruh dunia (pandemik) dan menyebabkan kematian yang tinggi berlaku sebanyak tiga kali (sekali setiap abad) sejak 1700 lagi.

Kata Dr. Abdul Rahman, dalam abad kedua puluh ini, sebanyak tiga virus selesema pandemik telah muncul dan menyebabkan pandemik besar iaitu virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) yang disebabkan oleh virus H1N1, virus selesema Asia 1957 yang disebabkan oleh virus H2N2 dan virus selesema Hong Kong 1968 yang disebabkan oleh virus H3N2.
Pandemik selesema yang disebabkan oleh virus selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918 menyebabkan 50 juta manusia di seluruh dunia mati.

''Manakala, wabak pandemik kemudian yang dikesan pada 1957 jenis H2N2 dan pada 1968 jenis H3N2 telah membunuh lebih daripada satu juta manusia," kata beliau.
Strain (jenis) virus yang menyebabkan pandemik selesema pada tahun 1957 dan 1968 merupakan virus yang mula-mula muncul di Asia melalui proses campuran (reassorted) gen-gen di antara virus unggas (avian), babi dan virus selesema manusia.

Virus selesema yang menyebabkan pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 muncul menerusi proses campuran virus selesema manusia H1N1 dan babi H1N1 serta kehadiran proses mutasi yang kerap ditemui dalam virus selesema burung.

Menurut beliau lagi, pencirian awal ke atas genom lengkap virus tersebut menunjukkan kemungkinan virus babi H1N1 strain baru ini mempunyai campuran genetik dari virus selesema yang berasal daripada unggas, babi dan juga manusia.

Jujukan nukleotida mengesahkan gen neuramidase (NA) dan matrik (M) virus selesema babi H1N1 ini berasal daripada virus selesema Eurasian manakala jujukan hemagglutinin (HA) berasal daripada virus babi Amerika Utara.

Dengan penemuan yang lebih banyak mengenai virus babi H1N1, penjujukkan genom virus tersebut serta kajian ke atas tahap jangkitan dan sebaran virus selesema tersebut di dalam babi dan manusia, lebih banyak maklumat akan diketahui berhubung dengan virus babi H1N1 yang sedang menular di beberapa negara di dunia.

WHO mengesahkan bahawa dadah anti-virus lama seperti amantadine dan rimantadine tidak berkesan untuk membunuh virus babi H1N1 tetapi ia berkesan terhadap dadah anti-viral baru seperti oseltamivir dan zanamivir.

Dijangkakan juga vaksin bermusim selesema yang ada sekarang tidak berupaya memberi pelindungan terhadap virus selesema babi H1N1. Ini adalah kerana virus selesema babi H1N1 yang ditemui ini mempunyai ciri-ciri genetik dan antigenik yang berlainan dengan vaksin selesema yang sedia ada.

Virus selesema babi H1N1 ini telah diasingkan dari pesakit di Mexico, Kanada, Sepanyol dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Beberapa negara lain seperti New Zealand, Perancis dan Israel telah mengesyaki kehadiran virus ini.

Dijangkakan juga lebih banyak negara akan mengesahkan kehadiran virus selesema H1N1 kerana virus ini berupaya merebak dari manusia ke manusia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkan wabak selesema babi H1N1 yang sedang merebak ini boleh membawa kepada berlakunya ancaman kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.

Virus selesema babi H1N1 yang pertama diasingkan (dipencilkan) dari babi pada tahun 1930.
Sejak dari itu lebih daripada 100 virus selesema babi H1N1 telah dikenal pasti. Walaupun terdapat perbezaan genetik terhadap virus H1N1 tersebut, ia tidak menyebabkan jangkitan berbahaya yang boleh membunuh babi dan juga manusia seperti apa yang sedang berlaku di Mexico.

Di Malaysia, kehadiran virus H1N1 ini pernah dikesan secara tidak langsung menerusi kehadiran antibodi spesifik terhadap virus tersebut.
Kehadiran virus H1N1 tersebut dikesan menerusi suatu kajian pemantauan yang dijalankan menerusi projek kerjasama antara UPM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun 2005-2007.

Kajian tersebut mengambil lebih daripada 700 sampel sera dan cecair kerongkong telah di ambil daripada babi yang diternak secara komersial di Semenanjung Malaysia.
Menurut Dr. Abdul Rahman, hasil kajian menunjukkan sebanyak 12 peratus daripada babi tersebut didapati positif bagi antibodi terhadap virus H1N1.
Namun, ujian pengasingan virus dari sampel cecair kerongkong gagal mengenal pasti kehadiran virus babi H1N1.

Sumber : Utusan Malaysia