Thursday, May 21, 2009

Risiko penyakit wanita berumur

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

MENJADI tua adalah hakikat yang perlu dilalui oleh setiap wanita di muka bumi ini. Ia merupakan satu proses semula jadi dalam kitaran hidup manusia.
Kedutan pada wajah, hilang keanjalan kulit dan rambut ditumbuhi uban sememangnya tidak mampu dielak, namun apalah sangat proses penuaan tersebut jika dibandingkan dengan rasa sihat dan bebas daripada sebarang penyakit pada usia 'subsidi' tersebut.
Cara yang baik untuk terus sihat dan cergas, walaupun usia telah meningkat, adalah dengan menjaga badan dan fikiran supaya selalu aktif. Apa yang penting bagi seorang wanita ialah menjadi sihat dan kekal cantik pada kelas usianya tanpa sebarang penyakit.


Bagaimanapun, kebanyakan wanita berkerjaya sering mengabaikan kesihatan diri sendiri kerana terlalu menumpukan kepada kerja, pasangan dan anak-anak. Amat menyedihkan apabila penyakit yang dihidapi dikesan terlalu lambat dan rawatan agak sukar untuk memulihkan keadaan seperti dulu.
Pokoknya, pilihan terletak pada tangan kita kerana pengesanan awal mampu merubah kehidupan kepada yang lebih baik, bak kata pepatah, 'tepuk dada tanya selera.'


Memahami isu kesihatan wanita

Pepatah 'mencegah lebih baik daripada merawat' memang bertepatan dengan apa yang ingin diuar-uarkan dalam bengkel kesihatan wanita bertajuk Timeless Women, anjuran Weber Shandwick yang disokong oleh Novartis ini.

Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita, suami dan anak-anak.Keempat-empat peringkat ini ialah 18 hingga 30 tahun; 30 hingga 50 tahun; 50 hingga 70 tahun; dan 70 tahun ke atas. Kategori umur masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza.

Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar berkata, bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser pangkal rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis.
"Kanser payu dara masih menjadi penyakit utama wanita di seluruh dunia. Ujian mamogram amat disarankan kepada wanita berusia 50 tahun ke atas, bagaimanapun wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidapi kanser payu dara dinasihatkan menjalani ujian ini pada usia antara 40 ke 49 tahun," ujarnya ketika menyampaikan taklimat pada bengkel bertajuk Timeless Woman di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.


Dr. Nor Ashikin berkata, selain mamogram, kaedah pemeriksaan payu dara sendiri (BSE) membantu wanita mengesan keganjilan pada payu dara mereka.
"Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar dari puting, kadang kala mengandungi darah. Jika ada benjolan, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Usah tunggu benjolan menjadi sakit kerana risiko penyakit bertambah buruk sangat tinggi," ujar Pengasas dan Pengarah Eksekutif Primanora.
Satu lagi penyakit yang digeruni wanita ialah kanser pangkal rahim. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan menunjukkan kanser tersebut merupakan kedua tertinggi dengan jumlah 12.9 peratus atau 20 kes daripada 100,000 penduduk.


Dr. Nor Ashikin berkata, kanser kedua pembunuh wanita ini semakin berisiko seiring dengan penambahan usia seseorang wanita."Wanita yang melakukan seks pada usia muda atau mempunyai ramai pasangan dan tidak mempunyai perlindungan ketika mengadakan seks, berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit ini," katanya.

Dr. Nor Ashikin berkata, barah yang disebabkan oleh kuman human papiloma virus (HPV) ini boleh berada dalam tubuh seorang wanita dari berbulan hingga bertahun-tahun lamanya hinggalah ia bertukar menjadi sel barah."Gejala seperti pendarahan selepas melakukan hubungan seks adalah petanda barah ini. Ada masanya, pendarahan tersebut berlarutan hingga menyebabkan anemia atau penyakit kurang darah. "Simptom lain adalah seperti kesukaran bernafas, mudah penat dan berbau busuk pada vagina. Jika simptom tersebut berterusan ia boleh melarat pada pundi kencing dan seterusnya mengakibatkan kencing berdarah," jelasnya.
Dr. Nor Ashikin menyarankan wanita yang aktif dalam hubungan seks agar menjalani ujian pap smear yang boleh mengesan sel tidak normal yang mungkin boleh menjadi punca kanser.


Dr. Nor Ashikin menambah, kesihatan organ reproduktif harus dipandang serius oleh setiap wanita kerana pengabaiannya mampu merosakkan kemampuan wanita dalam menjalani seksual yang sempurna.Dengan pendedahan secukupnya, seorang ibu boleh mula membawa anak perempuannya melalui pemeriksaan pakar ginekologi selepas tiga tahun dia mengalami haid yang pertama. Pemantauan kesihatan organ reproduktif ini boleh mengenalpasti dan mengesan sekiranya berlaku sesuatu keganjilan pada organ tersebut.

Tidak ketinggalan, seorang ibu yang meningkat usia, akan melalui fasa menopaus. Ia satu proses semula jadi dan penting dalam kehidupan setiap wanita."Setiap bayi perempuan yang dilahirkan telah mempunyai beberapa jumlah telur dalam ovarinya. Ovari mengeluarkan hormon estrogen dan progesteron yang juga merangsang penghasilan haid dan kesuburan."Apabila usia meningkat, ovari tidak lagi mengeluarkan telur dan pengeluaran hormon turut terhenti, ketika inilah dikatakan proses menopaus berlaku," jelasnya.

Dr. Nor Ashikin berkata, menopaus adalah proses yang berlaku secara perlahan-lahan dan diiringi beberapa gejala seperti selaran kepanasan, perubahan emosi, kekeringan dan sukar tidur malam."Wanita yang telah menopaus selama beberapa tahun berkecenderungan menghidapi penyakit osteoporosis, masalah jantung, lemah pundi kencing, lemah daya ingatan, hilang keanjalan kulit dan otot serta masalah penglihatan," katanya.

Wanita mesti bersedia menghadapinya dan mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan penyakit yang berkaitan dengan proses selepas menopaus.Selain penyakit yang melibatkan organ wanita, Dr. Nor Ashikin memberitahu, wanita juga berisiko menghidap serangan jantung.
Sakit jantung menjadi faktor utama kematian lelaki dan wanita di seluruh dunia termasuk 22.5 peratus penyebab kematian wanita Malaysia ialah sakit jantung.
"Apabila wanita mencapai umur 50 tahun, dia mudah diserang sakit jantung. Wanita yang mengalami menopaus, peningkatan umur, sejarah keluarga, merokok, kandungan kolestrol yang tinggi dan kurang aktiviti fizikal berisiko menghidap menyakit ini," jelasnya.
Bagi menjaga kesihatan jantung, wanita perlu mengurangkan atau menjauhi asap rokok, menjaga berat badan, bersenam sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit untuk lima kali seminggu, berdiet dan merawat atau kawal aras gula dalam darah (diabetes), kolestrol dan tekanan darah.


Sumber : Utusan Malaysia

Saturday, May 16, 2009

Kebersihan kunci kawal wabak

Oleh NURUL ANUAR KARI

WABAK menjadi satu perkataan utama di kalangan media cetak dan elektronik bulan ini berikutan kemunculan virus baru di Mexico dan juga kes meningitis di Melaka. Namun, ini bukan kali pertama negara, dan juga dunia, digemparkan dengan berita wabak pandemik dengan kemunculan virus Nipah, Japanese encephalitis (JE) dan selesema burung H5N1.
Apa yang lebih penting untuk difahami umum adalah penularan penyakit berjangkit bawaan virus mahupun bakteria ini bukan hanya berkaitan isu bawaan haiwan, tetapi turut berkait rapat dengan tahap kebersihan diri dan persekitaran.


Bersih untuk selamat

Sebelum ini kita dimaklumkan bagaimana selesema burung H5N1 mudah disebarkan melalui bangkai dan najis haiwan dijangkiti. Influenza A H1N1 yang sebelum ini dikenali sebagai selesema babi pula dikaitkan dengan haiwan yang dikenali hidup dalam kotoran, dan menjadi hos kepada bermacam jenis penyakit haiwan dan manusia.

Terbaru, meningitis pula muncul yang berpunca daripada penyebaran kuman pada permukaan yang tercemar, dari pesakit kepada individu lain. Jelas sekali ketiga-tiga penyakit ini berjangkit melalui 'kekotoran', dan lebih penting lagi ia sebenarnya boleh dicegah dan dikawal daripada terus merebak.

Untuk kes selesema (flu) H5N1 atau H1N1, tidak banyak yang boleh dibuat untuk kaedah penyebaran melalui udara virus influenza, tetapi penyebaran melalui sentuhan fizikal dapat dielakkan dengan menjauhkan diri daripada bangkai atau najis haiwan yang dijangkiti. Secara mudahnya, jauhkan ladang ternakan haiwan dari penempatan manusia dan pastikan sisa najis mana-mana haiwan sekalipun tidak dibuang berhampiran atau mencemari sumber air. Dari segi pemakanan daging haiwan terbabit, virus tersebut dapat dibunuh jika daging dibersihkan dan dimasak dengan elok.

Meningitis melibatkan isu kebersihan persekitaran yang boleh menyebarkan kuman dari pesakit kepada individu sihat. Beberapa virus dan bakteria punca meningitis boleh dicegah melalui pengambilan vaksin tetapi untuk yang selebihnya, penjagaan kebersihan adalah cara pencegahan terbaik.

Mencegah atau mengubati

Permukaan rata seperti meja, kerusi, peralatan kerja mahupun rel tangga (pejabat, pengangkutan awam, rumah) boleh dicemari kuman dari pesakit melalui cecair badan. Kuman dari cecair badan pesakit boleh memasuki badan individu sihat melalui luka, mata atau melalui salur penghadaman.

Penyakit berjangkit juga tidak semestinya hanya yang menggemparkan dunia tetapi turut melibatkan kuman biasa punca keracunan makanan (salmonella, kolera) mahupun yang disebar air banjir (leptospirosis). Kes keracunan makanan juga sering kali berlaku di sekolah dan juga di gerai atau restoran kotor yang kebanyakannya tidak dilaporkan.

Asas mudah kuman merebak melalui 'kekotoran' menunjuk kepada asas mudah pencegahan iaitu menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Tindakan membasuh tangan menjadi asas utama dalam pencegahan penyakit berjangkit kerana tangan banyak memegang permukaan yang mudah dicemari dan tangan juga memindahkannya ke muka, mata, ke dalam mulut mahupun kepada individu lain.

Namun, membasuh tangan dengan air sahaja mungkin tidak mencukupi. Gunakan sabun antiseptik selagi boleh bagi mempastikan kuman pada permukaan tangan dan juga di bawah kuku dihapuskan. Tabiat mencuci tangan juga perlu dilakukan sebelum dan selepas menjalankan sebarang aktiviti, termasuklah makan, ke tandas, bersenam atau memegang permukaan tertentu di tempat awam.

Pihak berkuasa, pihak pengusaha perkhidmatan awam, pengurusan bangunan dan juga pengusaha restoran juga perlu mengambil langkah yang paling mudah dengan membersihkan sekerap mungkin permukaan yang sering disentuh orang ramai, di samping menyediakan produk antiseptik di tandas dan tempat mencuci tangan. Tempat tumpuan awam bukan sahaja perlu sentiasa dibersihkan dari sampah-sarap malahan dibersihkan dari kuman pada permukaan meja, rel tangan mahupun peralatan untuk kerja dan makan yang boleh menyebarkan virus mahupun bakteria punca penyakit.

Asas mudah kebersihan juga menekankan menjaga adab di tempat awam. Jangan batuk atau bersin ke arah orang lain atau meludah di merata tempat. Gunakan tisu, sapu tangan atau tutup mulut dengan tangan jika batuk atau bersin bagi mengelakkan penyebaran kuman kepada orang di sekitar anda. Dan paling penting, jangan lupa membasuh tangan anda supaya tidak pula disebarkan pada permukaan lain jika hingus di tangan disapu ke rel tangan atau permukaan meja.

Penyakit sememangnya mudah merebak, tetapi ianya juga bukan mustahil untuk dikawal atau dicegah. Pastikan anda memilih kebersihan dalam hidup dengan asas mudah, jaga adab, pilih yang bersih dan basuh tangan anda.

Sumber : Utusan Malaysia

Friday, May 15, 2009

Obesiti punca sindrom kaki lenguh

Oleh : SHANIKA ABDULLATIB

BUKAN saja menjejaskan organ jantung, obesiti juga berupaya memberi risiko terhadap kaki pesakit. Pakar neurologi berpendapat mereka yang menghidap obesiti terutama di bahagian perut berisiko mengalami sindrom kelenguhan kaki atau RLS.

RSL merupakan keadaan di mana kaki pesakit terus berasa lenguh walaupun mereka sedang relaks. Ini disebabkan oleh keadaan saraf yang tidak dapat mengawal pergerakan kaki untuk berehat.

EKSTRA: Hendak membantu kanak-kanak turunkan berat badan? Berikan mereka lebih banyak air kosong berbanding minuman bergas atau soda, kata Dr. Claire Wang dari Universiti Columbia di New York.

Sumber Dari : Kosmo

Tuesday, May 12, 2009

Mulut Berbau

Adakah anda pernah menghadapi masalah mulut berbau? Pasti ramai yang berasa kurang selesa apabila mulut kita berbau ataupun orang yang terdekat dengan kita menghadapi masalah ini.Memang memalukan terutama apabila kita berbual dengan seseorang dan kemudian dia cuba berpaling dari kita kerana tidak tahan bau mulut kita yang berbau.Sekiranya anda kurang tahu bahawa mulut anda berbau atau tidak cuba buat cara ini semburkanlah nafas anda ke tapak tangan yang menghadap ke hidung anda dan jika nafas anda berbau anda akan dapat menghidunya.Cara kedua semburkan nafas anda ke anak kecil selepas itu tanya mereka samada berbau atau tidak selalunya anak-anak yang kecil ini tidak menipu dan jujur bila berkata.

Bau mulut ini tidak boleh hilang jika hanya menguyah gula-gula getah perasa mint, mengosok gigi secara teratur dan berkumur dengan cairan pengharum nafas sahaja kerana bau mulut ini bukanlah penyakit tetapi adalah gejala suatu penyakit.Ia mungkin berpunca dari gigi,sinus,tonsil atau peradangan usus dan adanya hiatus hernia iaitu kantung di dalam perut yang menyebabkan makanan berkumpul di dalamnya dan mengakibatkan bau yang tidak enak.

Faktor-Faktor penyebab bau mulut.

1.Makanan-sisa-sisa makanan yang terlekat pada gigi juga boleh mendatang bau mulut

2.Gigi -Masalah kesihatan gigi juga menyebabkan nafas tidak sedap kerana apabila sisa makanan terlekat pada gigi atau gusi munculnya bakteria penyebab bau yang akan menimbulkan iritasi pada gusi dan menyebabkan gigi buruk dan berbau.Memakai gigi palsu yang tidak bersih dan tidak bagus pada tempatnya juga boleh jadikan mulurt berbau busuk.

3.Mulut Kering -Air liur mambantu kita membersihkan mulut .Mulut yang kering akan akan menyebabkan sel sel mati berkumpul pada lidah dan gusi dan sel sel ini akan membusuk dan muncullah bau yang kurang enak itu.Merokok dan ubat-ubatan tertentu penyebab mulut kering.

4.Penyakit - Penyakit yang dapat menyebabkan bau ialah seperti infeksi kronis pada paru-paru,kerosakan buah pinggang dan kerosakan hati dan diabetes.

Cara mengurangkan bau mulut

1.Gosok gigi selepas makan
2-Gunakan dental floss sekurang-kurangnye sekali sehari untuk buang sisa makan di celah-celah gigi
3.Lidah juga harus diberus terutama di bahagian belakangnya untuk menghilangkan sel-sel mati,bakteria dan sisa makanan
4.Jika memakai gigi palsu atau kawat gigi perlulah membersihkan minima sekali sehari
5.Minum air putih banyak dan hindari minuman alkohol,kopi dan soda agar mulut tetap basah.Gantilah berus gigi setiap 2 atau 3 bulan sekali.
6.Periksalah gigi anda ke doktor minima setiap 6 bulan sekali.



Cegah dan kawal penyakit wanita

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

KITA sering mengungkap kasih ibu membawa ke syurga. Sentuhan ibu juga yang mengeratkan hubungan anak serta membina kesejahteraan keluarga. Bukan itu sahaja, peranan wanita yang bergelar ibu cukup besar dalam menguruskan rutin keluarga, malahan, mereka yang bekerja terpaksa menguruskan dua tugas setiap hari.

Walaupun masa mereka terhad, seorang ibu akan berusaha melaksanakan tugas di rumah dan pejabat dengan sempurna. Di sebalik wajah yang tabah dan tenang, golongan ini tidak akan lari daripada risiko serangan penyakit berbahaya. Bahkan, peranan seorang ibu bukan sedar mendidik atau membesarkan anak tetapi dia merupakan wanita pertama yang hadir dalam hidup setiap insan. Ibu jugalah mengandungkan kita selama sembilan bulan dan kita menghuni rahimnya, sebelum kita melihat dunia. Tidak hanya itu, ibu jugalah yang bertarung nyawa, menjaga, membelai, membesarkan dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kita yang bergelar anak.

Hakikatnya, membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga memang memenatkan buat wanita moden kini. Ada kalanya tiada masa untuk memikirkan diri sendiri.Ada juga yang mengambil berat soal kesihatan tetapi terlalu sibuk untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kandungan khasiat pada label makanan. Ada juga yang tidak pasti jika ia membekalkan pelbagai khasiat diperlukan untuk kehidupan seharian.Kekurangan khasiat penting boleh mengakibatkan seseorang itu tidak mampu berfungsi pada tahap sewajarnya. Ia boleh menyebabkan keletihan, mudah dijangkiti penyakit dan tiada rangsangan untuk melakukan kerja seharian.

Apabila tahap tenaga semakin rendah, kita sangat mudah untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan ini menganggu gaya hidup wanita.Emosi wanita sebagai isteri, ibu dan pengurus rumah tangga mempunyai pengaruh besar kepada seisi keluarga. Masalah akan bertambah teruk jika suami dan anak tidak faham apa yang dilalui wanita sehingga ada yang mengalami tekanan dan kemurungan.Jadi wanita berkemungkinan berasa rendah diri atau malu kerana mereka mempunyai gejala penyakit seperti gangguan hormon ketika kehamilan, menopaus dan sebagainya hingga gangguan emosi.

Sempena hari ibu yang jatuh pada hari ini, seisi keluarga perlu memahami penyakit-penyakit yang boleh menyerang seorang ibu.Tidak hanya meraikan hari istimewa ini di tempat-tempat makan malam seperti hotel, namun sebagai suami dan anak, anda perlu memahami keperluan kesihatan ibu. Pencegahan awal dan penjagaan berterusan kesihatan ibu amat penting untung membina kesejahteraan keluarga dan membendung kemurungan emosi golongan ini.
Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita.Keempat-empat peringkat ini termasuk 18 hingga 30 tahun, 30 hingga 50 tahun, 50 hingga 70 tahun dan 70 tahun ke atas.


Masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza.Bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis.Namun, terdapat juga penyakit puan lain yang sering dialami seperti penyakit seksual dan mata.Kehadiran penyakit ini dalam diri wanita memberi impak terhadap emosi wanita kerana ketidakstabilan perasaan.

Sumber : Utusan Malaysia

Saturday, May 2, 2009

Ancaman Virus Selesema Babi

Oleh LAUPA JUNUS

Kajian sampel mengenal pasti jenis virus selesema yang dijalankan di Makmal Kesihatan awam di California, Amerika Syarikat.

Selepas dikejutkan dengan Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah yang disebarkan daripada babi, demam Coxsackie, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kini selesema babi menjadi ancaman terbaru penduduk negara ini.

Kemunculan virus selesema babi H1N1 di dalam babi dan juga manusia di Mexico baru-baru ini yang berupaya menyebabkan jangkitan yang membawa maut menunjukkan sejarah mungkin berulang kerana pandemik virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) juga disebabkan oleh virus selesema H1N1.

Tetapi yang uniknya, virus selesema babi H1N1 Mexico muncul dari campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan juga manusia.

Berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang beribu pejabat di Geneva dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, virus selesema babi H1N1 yang ditemui di Mexico baru-baru ini dan di beberapa negeri di Amerika Syarikat, Kanada dan Sepanyol merupakan virus selesema babi H1N1 yang baru, yang belum pernah ditemui sebelum ini.

Virus babi H1N1 ini mempunyai profil genetik (campuran gen) yang unik yang belum pernah ditemui dalam mana-mana haiwan atau manusia sebelum ini.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Omar. Menurut beliau, pada lazimnya, virus selesema babi H1N1 yang ditemui sebelum ini hanya mampu menyebabkan jangkitan yang ringan hingga sederhana pada salur pernafasan dan/atau paru-paru babi yang dijangkiti.

''Bagaimanapun virus tersebut (H1N1) berupaya menyebabkan kadar jangkitan tinggi yang boleh mencecah 100 peratus, meskipun kadar kematiannya adalah rendah," katanya.
Beliau berkata, manusia terutamanya pekerja di ladang babi yang dijangkiti dengan virus H1N1 boleh dijangkiti dengan virus ini, namun jangkitannya tidak berbahaya sekiranya tiada komplikasi.

Tanda klinikal yang kerap berlaku ekoran jangkitan virus selesema babi H1N1 pada manusia adalah demam, selesema, sakit tekak dan batuk selama beberapa hari.
Oleh kerana keupayaan tinggi virus selesema melakukan proses mutasi dan campuran genetik, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya ternakan seperti babi, ayam, itik dan spesies burung lain tidak dipelihara bersama.

Ini kerana ia boleh membawa kepada pembentukan virus selesema bersifat pandemik kepada manusia dan virus highly pathogenic avian influenza (HPAI) yang boleh menjangkiti ayam dan juga manusia.

Di samping itu, babi merupakan perumah unik yang boleh berfungsi sebagai mixing vessel bagi kemunculan virus selesema yang berupaya menyebabkan pandemik selesema manusia.
''Ini adalah kerana saluran pernafasan babi mempunyai reseptor bagi menyokong proses replikasi virus selesema dari babi, burung dan juga manusia," kata Dr Abdul Rahman.
Katanya, epidemik selesema dikenal pasti apabila berlakunya peningkatan kematian akibat daripada penyakit selesema dan juga kes radang paru-paru (pneumonia) secara mendadak.
Virus selesema pandemik manusia muncul apabila gen virus selesema haiwan sama ada daripada burung atau babi, yang sebelum ini tidak dijumpai pada manusia secara umum, bercantum dengan virus selesema manusia dalam cantuman genetik yang membolehkan virus campuran berupaya merebak dengan efisien dari manusia ke manusia.

Berdasarkan sejarah, virus selesema yang merebak ke seluruh dunia (pandemik) dan menyebabkan kematian yang tinggi berlaku sebanyak tiga kali (sekali setiap abad) sejak 1700 lagi.

Kata Dr. Abdul Rahman, dalam abad kedua puluh ini, sebanyak tiga virus selesema pandemik telah muncul dan menyebabkan pandemik besar iaitu virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) yang disebabkan oleh virus H1N1, virus selesema Asia 1957 yang disebabkan oleh virus H2N2 dan virus selesema Hong Kong 1968 yang disebabkan oleh virus H3N2.
Pandemik selesema yang disebabkan oleh virus selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918 menyebabkan 50 juta manusia di seluruh dunia mati.

''Manakala, wabak pandemik kemudian yang dikesan pada 1957 jenis H2N2 dan pada 1968 jenis H3N2 telah membunuh lebih daripada satu juta manusia," kata beliau.
Strain (jenis) virus yang menyebabkan pandemik selesema pada tahun 1957 dan 1968 merupakan virus yang mula-mula muncul di Asia melalui proses campuran (reassorted) gen-gen di antara virus unggas (avian), babi dan virus selesema manusia.

Virus selesema yang menyebabkan pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 muncul menerusi proses campuran virus selesema manusia H1N1 dan babi H1N1 serta kehadiran proses mutasi yang kerap ditemui dalam virus selesema burung.

Menurut beliau lagi, pencirian awal ke atas genom lengkap virus tersebut menunjukkan kemungkinan virus babi H1N1 strain baru ini mempunyai campuran genetik dari virus selesema yang berasal daripada unggas, babi dan juga manusia.

Jujukan nukleotida mengesahkan gen neuramidase (NA) dan matrik (M) virus selesema babi H1N1 ini berasal daripada virus selesema Eurasian manakala jujukan hemagglutinin (HA) berasal daripada virus babi Amerika Utara.

Dengan penemuan yang lebih banyak mengenai virus babi H1N1, penjujukkan genom virus tersebut serta kajian ke atas tahap jangkitan dan sebaran virus selesema tersebut di dalam babi dan manusia, lebih banyak maklumat akan diketahui berhubung dengan virus babi H1N1 yang sedang menular di beberapa negara di dunia.

WHO mengesahkan bahawa dadah anti-virus lama seperti amantadine dan rimantadine tidak berkesan untuk membunuh virus babi H1N1 tetapi ia berkesan terhadap dadah anti-viral baru seperti oseltamivir dan zanamivir.

Dijangkakan juga vaksin bermusim selesema yang ada sekarang tidak berupaya memberi pelindungan terhadap virus selesema babi H1N1. Ini adalah kerana virus selesema babi H1N1 yang ditemui ini mempunyai ciri-ciri genetik dan antigenik yang berlainan dengan vaksin selesema yang sedia ada.

Virus selesema babi H1N1 ini telah diasingkan dari pesakit di Mexico, Kanada, Sepanyol dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Beberapa negara lain seperti New Zealand, Perancis dan Israel telah mengesyaki kehadiran virus ini.

Dijangkakan juga lebih banyak negara akan mengesahkan kehadiran virus selesema H1N1 kerana virus ini berupaya merebak dari manusia ke manusia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkan wabak selesema babi H1N1 yang sedang merebak ini boleh membawa kepada berlakunya ancaman kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.

Virus selesema babi H1N1 yang pertama diasingkan (dipencilkan) dari babi pada tahun 1930.
Sejak dari itu lebih daripada 100 virus selesema babi H1N1 telah dikenal pasti. Walaupun terdapat perbezaan genetik terhadap virus H1N1 tersebut, ia tidak menyebabkan jangkitan berbahaya yang boleh membunuh babi dan juga manusia seperti apa yang sedang berlaku di Mexico.

Di Malaysia, kehadiran virus H1N1 ini pernah dikesan secara tidak langsung menerusi kehadiran antibodi spesifik terhadap virus tersebut.
Kehadiran virus H1N1 tersebut dikesan menerusi suatu kajian pemantauan yang dijalankan menerusi projek kerjasama antara UPM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun 2005-2007.

Kajian tersebut mengambil lebih daripada 700 sampel sera dan cecair kerongkong telah di ambil daripada babi yang diternak secara komersial di Semenanjung Malaysia.
Menurut Dr. Abdul Rahman, hasil kajian menunjukkan sebanyak 12 peratus daripada babi tersebut didapati positif bagi antibodi terhadap virus H1N1.
Namun, ujian pengasingan virus dari sampel cecair kerongkong gagal mengenal pasti kehadiran virus babi H1N1.

Sumber : Utusan Malaysia

Thursday, April 30, 2009

Wabak Selsema Babi Semakin Serius

GENEVA 30 April – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam meningkatkan langkah berjaga-jaga terhadap wabak selesema kepada fasa lima atau kurang setingkat di bawah tahap maksimum.

Peningkatan itu menandakan dunia di ambang wabak besar-besaran atau pandemik berikutan wabak selesema babi yang telah meletus di Mexico dan merebak ke seluruh dunia.
“Saya mengambil keputusan untuk meningkatkan langkah berjaga-jaga terhadap pandemik influenza daripada fasa empat kepada fasa lima,’’ umum Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan semalam.

“Langkah ini menjadi isyarat kepada kerajaan, kementerian kesihatan dan industri farmasi di seluruh dunia bahawa tindakan tertentu kini perlu diambil dengan kadar lebih segera,” katanya.
Beliau membuat pengumuman tersebut selepas mesyuarat tergempar pakar pandemik agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Chan berkata, semua negara kini perlu segera mengaktifkan pelan persiapan menghadapi pandemik.

Beliau menegaskan ancaman yang timbul berikutan wabak selesema babi yang tertumpu di Mexico dan Amerika Syarikat (AS) ‘mesti dipandang serius’ kerana seluruh umat manusia terancam jika berlaku pandemik.

Fasa lima, iaitu kurang selangkah sebelum fasa enam yang menandakan pandemik, digambarkan sebagai ‘isyarat tegas bahawa pandemik boleh berlaku tidak lama lagi dan tempoh untuk menyiapkan langkah-langkah pengawalan yang dirancangkan adalah singkat’, menurut WHO.
Chan menjelaskan, pakar memutuskan untuk meningkatkan langkah berjaga-jaga itu kerana kes jangkitan ‘berterusan’ daripada manusia kepada manusia bukan sahaja berlaku di Mexico tetapi juga di AS.

“Apabila kita mendapati dua negara yang terletak di satu kawasan WHO menunjukkan penyebaran sedemikian, kita melangkah kepada fasa lima,” kata beliau.
Sungguhpun boleh difahami bahawa penduduk kini berasa bimbang, isu kesihatan itu perlu ditangani dengan tenang.

“Adalah penting kita tidak bertindak secara keterlaluan, sebaliknya kita perlu mengambil sikap bertenang supaya kita boleh terus mengurus wabak ini secara rasional,” katanya.
Beliau juga menegaskan, WHO tidak mengesyorkan penutupan sempadan atau mengehadkan pergerakan manusia atau barangan.

Disebabkan persiapan yang dilakukan berikutan wabak selesema burung, negara-negara juga dalam keadaan lebih bersiap sedia untuk menangani pandemik.
“Langkah-langkah persiapan yang diambil disebabkan influenza H5N1 merupakan pelaburan dan kita sekarang memanfaatkan pelaburan ini,” kata Chan.

Di bawah peraturan WHO, fasa enam atau pandemik akan dicapai jika atau bila virus selesema babi didapati merebak secara berterusan antara manusia di pekan-pekan atau dalam komuniti lebih luas di sekurang-kurangnya sebuah benua lain selain benua Amerika. – AFP

Sumber: Utusan Malaysia

Wednesday, April 29, 2009

Rawatan 3- Jarak Jauh ( Serangan Saraf)

Masalah :

Penyakit yang saya alami ini sejak 17 tahun yang lalu dan sekarang perasaan sering terganggu.Dari pinggang hingga ke kaki semuanya kejang.Kadangkala terus tak boleh berjalan.Memang banyak usaha telah dilakukan tapi masih tetap sakit.Saya mohon petunjuk setiap hari agar dapatlah seseorang membantu mengubat penyakit saya ini.Ada tempat yang tidak sanggup menerima saya selepas sekali berubat dengan alasan kurang sihat.

Pn.Normala – Pekan ,Pahang

JALAN PETUNJUK :

Anak Puan Normala telah melayari website Mahsuri.com.my dan membaca beberapa kali tentang kaedah rawatan ini.Perbualan demi perbualan berlaku untuk memahami masalah yang timbul.Pada peringkat awal Pn.Normala berminat untuk membuat analisis penyakit sahaja.Setelah rambut sampai, kami telah menganalisakan penyakit Pn Normala.Kami dapati banyak yang melibatkan SARAF tersumbat.Setelah siap ubat diposkan ke alamat yang diberi.

Rawatan Selanjutnya- Setelah dua minggu memakan ubat ,Pn. Normala menghubungi kami lagi untuk bertanya tentang perkara yang lain pula.Pada peringkat awal dia cuba menyembunyikan cerita yang sebenarnya, selepas diberi penerangan barulah dia menceritakan masalah sebenarnya.Pekerja Mahsuri membantu dalam kes ini agar bila berubat mesti Yakin dan tidak boleh berselindung di sebalik kata ya atau tidak.Setelah tiga hari memohon hajat pada Allah, Hati Pn Normala rasa yakin dan telah menjelaskan KOS yang telah diterangkan TANPA PAKSAAN.

Sesi rawatan jarak jauh ditetapkan jam 5.00 petang.Pn Normah diarahkan agar mengambil air sembahyang dan memakai telekung ketika proses rawatan di mulakan.Rawatan telah dimulakan tepat jam 5 petang seperti yang dijanjikan.Banyak yang dirasakan keluar dari badan, tangan rasa semut-semut, pinggang ke bawah rasa kebas, nampak seorang budak dan orang tua ada rasa sesuatu keluar dari kemaluan.

Sesi rawatan lanjut hari yang sama jam 8 malam- Pihak RAM telah menghubungi Pn. Normala agar bersiap sedia untuk rawatan kedua kerana ada terdapat lagi saki baki lapisan awal yang tertinggal.Tepat jam 8 malam, setelah persediaan di aturkan kami memulakan rawatan dan didapati kali ini banyak yang cuba mengganggunya. Berkat kesabaran semuanya dapat diselesaikan dengan selamat.Pihak RAM telah mengarahkan Pn. Normala untuk mandi agar bisa-bisa dan keletihan badan dapat dikurangkan.

Komen Perawat :

Mungkin orang yang tidak sakit boleh menghuraikan dengan seribu persoalan.Kenapa boleh macam itu, kenapa boleh macam ini.Dalam catatan kali ini kami hanya mengambarkan situasi / keadaan penyakit itu.Jika ada yang terkena penyakit yang sama sila buat rujukan dengan Pihak Mahsuri.Jangan membuat kesimpulan secara sendiri.Bukanlah senang untuk membuat rawatan secara jarak jauh jika antara pesakit dan perawat tidak yakin.Kejayaan rawatan ini semuanya adalah Keizinan dari Allah Yang Maha Esa.Kami merasakan serapan KEJAYAAN ITU.TERIMA KASIH TUHAN.


" Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan, sedangkan Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus dan Maha Teliti ."
( surah Al-An'am ayat 103)

Monday, April 27, 2009

Rawatan 2 – Demam Panas

Masalah :

Anak saya berumur 3 tahun .Sering mengalami masalah batuk, muntah, muntah, panas badan sehingga antibodinya tidak menentu.Perkara ini semakin berleluasa sehingga saya sudah buntu mencari jalan kesembuhan kerana telah banyak menghabiskan waktu berulang alik mendapatkan khidmat doktor sehingga mereka mengatakan anak saya terkena demam denggi dan anak saya juga telah ditahan di wad serta diambil darah bagi membuat ujian darah.

Pn.Anisah – Gombak, Kuala Lumpur


JALAN KELUAR :

Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang banyak penyakit yang sering di hidapi terutama kanak-kanak.Setiap anak dilahirkan putih bersih dan tanda-tanda awal penyakit mudah diubati.Itupun jika mencari rawatan YANG BETUL.Bagi kes di atas anak Puan Anisah iaitu Tasya, bapanya telah menelefon untuk membuat rawatan setelah diterangkan oleh seorang kenalan yang mengetahui tentang RAM beberapa kali.

Bagi rawatan kali pertama ini pihak RAM telah menganalisa secara keseluruhan Tasya tentang punca masalah tersebut.Ada gangguan semangat pada peringkat awal telah dikesan.Pihak RAM telah membersihkan gangguan tersebut dan memberi ubat Demam serta Kit Kanak-Kanak untuk rawatan fizikal.Setelah tiga hari rawatan, Tasya menunjukkan tindak balas yang amat positif.Ia cergas dan ceria berbanding sebelumnya.Alhamdullillah dengan izin Allah Tasya sihat seperti kanak-kanak lain.

Sesi Rawatan Kedua –Bila penyakit sudah baik selepas sebulan berlalu kealpaan ibubapa terjadi lagi.Mereka sering membawa anak balik di waktu tengah malam dan melalui kawasan yang agak keras.Tasya terganggu lagi sehingga suhu badannya naik mendadak.Keesokkannya dia telah dibawa oleh ibunya datang ke Rawatan Mahsuri perkara yang sama pihak kami lakukan untuk kesembuhan Tasya.Kesembuhan kali ini hanya sehari kerana ibunya sudah faham dengan kaedah rawatan kami.Cuma ada batuk-batuk kecil ini mungkin terjadi kerana Tasya suka makan benda –benda yang sejuk.

Komen Perawat :

Konsep rawatan Mahsuri mudah Kesan, Cegah dan Rawat.Jangan ambil mudah tentang penyakit yang dihidapi.Apabila ianya semakin membesar ditakuti kos rawatannya akan meningkat terutama yang melibatkan pembedahan.Apa salahnya jika ada budget untuk membeli ubat Mahsuri serendah RM20.00 sahaja.

"YA Allah,berikanlah kami taufik untuk mentaati Mu, gerakkanlah hati kami untuk mensyukuri Mu dan tambahlah kurniaan Mu kapada kami."

Rawatan 1 –Diekori Dan Diserang Lembaga Hitam

Masalah :

Anak saya telah mengalami penyakit ini sejak 2 tahun lepas.Berbagai makhluk halus boleh dilihat walau dimana sekalipun.Samada di rumah, sekolah ataupun dijalanraya.Telah banyak ikhtiar yang telah saya lakukan tapi masih buntu.Apakah pihak Rawatan Mahsuri dapat membantu.Saya mengetahui pusat rawatan ini dari seorang kenalan rapat.

Puan Salina , Cheras,Selangor

JALAN KELUAR :

Begitulah soalan yang telah ditujukan pada pihak kami mengenai seorang pesakit berumur 8 tahun yang menjadi terlalu takut untuk melalui hidup seharian kerana diekori dan diserang oleh lembaga yang orang lain tidak nampak.Berbagai persoalan timbul dalam kotak fikiran keluarganya sebelum ini.Apabila anak itu bercerita langsung tidak diendahkan oleh keluarga.Tapi bila badan tengah panas terus sahaja di bawa ke hospital.Perkara ini berulang selama berapa bulan dan selepas itu bertukar cara perubatan tradisional pula untuk beberapa bulan sahaja.

Setelah mendengar cerita pihak keluarga tersebut pihak RAM telah membuat analisa tentang masalah tersebut dari cerita yang telah diterangkan memandangkan ia berkaitan dengan ilmu hitam pihak RAM mesti membuat kerja ini dengan teliti iaitu kajian mendalam tentang masalah ini telah dibuat dan pihak RAM mendapati ia berkaitan dengan kedua ibubapanya.Kami berbincang dengan keluarganya agar di ubati angah (pesakit) dahulu dan selepas itu baru yang lain memandangkan setiap kerja ada KOS yang telah ditetapkan, ibubapa angah setuju untuk membuat rawatan bersama pihak RAM setelah faham tentang kaedah rawatan.

Bagi sesi rawatan YANG PERTAMA angah telah kami ajar untuk bertenang jika ternampak sesuatu yang menakutkan.Pada peringkat awal angah agak takut dan selepas ditenangkan oleh ibunya angah dapat menghayati rawatan kami.Banyak lembaga yang keluar semasa rawatan di jalankan satu persatu kami bersihkan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki bagi LAPISAN AWAL Angah rasa lega bila berakhirnya rawatan tapi keletihan yang teramat sangat selepas 1 jam rawatan .

Bagi sesi rawatan YANG KEDUA angah datang lagi untuk membersihkan saki baki gangguan dan ada serangan terbaru dari pihak tertentu.Sebelum itu angah selalu bermimpi ada orang tua datang untuk membunuhnya.Rawatan kali ini lebih banyak yang nampak berbanding sesi rawatan pertama.Pihak RAM bertanyakan angah di kawasan rumah,sekolah, ibubapa dan adik beradik yang lain.Rupa-rupanya keluarga angah terlalu banyak makhluk yang menumpang.Kami tidak kacau makhluk tersebut dan kami hanya merawat pada angah sahaja.Masalah yang lain kami bincang kemudian.

Bagi sesi RAWATAN KETIGA, kami tetapkan angah mesti datang untuk memperbetulkan saraf yang telah lama terganggu sejak angah sakit selera makannya pun kurang kerana tekanan yang dihidapi.Pihak keluarga angah yakin apa yang mereka buat tapi memandangkan mereka ORANG SUSAH kerana telah banyak duit di belanjakan sejak dua tahun lalu.Kami beri mereka nasihat agar jangan leka selepas ini dan jangan mudah terlepas cakap sehinggakan ada pihak yang disakiti.


Komen Perawat :

Kami cuba membantu siapa sahaja yang datang untuk diubati.Tetapi setiap orang yang kena sakit tidak sama tindak balasnya.Adakalanya kita tidak boleh merawat pada hari yang sama kerana ditakuti pesakit akan terasa keletihan yang teruk.Kami akan buat berperingkat-peringkat agar kesembuhan dapat dijalankan secara Tenang.

Al-Quran itu tidak ada keraguan padanya menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.Iaitu orang-orang yang beriman (percaya) kepada Yang ghaib, mendirikan Sembahyang dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
( Surah Al-Baqarah ayat 2-3)

Sunday, April 26, 2009

Kaitan Rokok dan Penyakit Jantung

Perhubungan tembakau dengan barah paru-paru telah banyak membayangkan kebenaran bahawa tabiat merokok adalah penyumbang kepada penyakit jantung dan penyakit-penyakit saluran darah yang lain. Risiko kematian dari penyakit jantung adalah 2 hingga 3 lebih besar terhadap perokok dibandingkan dengan yang tidak merokok.

RISIKO SERANGAN JANTUNG
Atherosclerosis dari coronary arteries lebih lazim pada perokok dibandingkan dengan yang tidak merokok.Menghisap rokok menjadi sebab utama kematian yang tiba-tiba, terutama sekali pada orang-orang lelaki di bawah umur 50 tahun.Risiko bertambah setingkat demi setingkat pada perokok yang juga mengalami hypertensi atau darah tinggi dan risiko kedua-duanya adalah paling tinggi pada perokok.Wanita-wanita yang mengambil ubat pencegah kehamilan yang juga kuat merokok, boleh menambah risiko serangan jantung mereka hingga 20 kali.Lebih banyak anda merokok , (dan lebih tinggi tar/nikotin) lebih besar risikonya.

BERITA BAIK! KEBALIKAN RISIKO
Orang-orang yang berhenti merokok boleh mengharapkan kebalikan risiko kematian serangan jantung dengan cepat. Dalam masa setahun berhenti merokok, risikonya berkurangan hampir sama dengan orang yang tidak pernah merokok. Bancian insuran menunjukkan bahawa seseorang yang berumur 32 tahun yang tidak merokok, boleh mengharapkan hidup lebih kurang 7 tahun lebih lama daripada seorang perokok yang sama umurnya.

BAHAYA-BAHAYA LAIN PADA PEROKOK
Barah paru-paru, barah mulut, barah kerongkong: Pengaruhnya lebih tinggi pada perokok; 90% barah paru-paru berlaku pada perokok. Demam paru-paru dan Emphysema: Paru-paru yang telah dirosakkan oleh asap rokok lebih mudah kena jangkitan dan dan juga menyedut kurang oksigen. Kehamilan dan bahaya kepada bayi yang baru lahir: Ibu-ibu yang menghisap rokok mengahadapi bahaya melahirkan anak sebelum waktunya, bayi mati kelahiran atau berat badan bayi yang dilahirkan itu sangat berkurangan. Penyakit mulut: Perokok mungkin mendapati penyakit berkaitan dengan pergigian dan kehilangan gigi.

NIKOTIN
Racun ini pernah digunakan sebagai racun serangga, tetapi sekarang penggunaannya dilarang kerana ketinggian racunnya kepada manusia. Biasanya rokok mungkin mengadungi dengan jumlah yang tidak terbatas dan mudah pula didapati. Nicotin adalah 10 kali lebih toxic daripada DDT. Dihisap bertalu-talu 40 hingga 50 batang boleh membawa maut dalam beberapa minit disebabkan gagal bernafas. Oleh kerana jumlah nikotin itu kecil sahaja pada sekali sedutan, kesannya tidak membawa maut tetapi masih merbahaya pada jantung dan peredaran darah.

KESAN YANG MERBAHAYA DARI NIKOTIN
Menambah tekanan darah dan kadar jantung: hari bekerja lebih kuat.Boleh menyuburkan atherosclerosis.Boleh menambahkan pembekuan dalam saluran darah.Boleh mengganggu denyutan jantung yang normal.

KARBON MONOKSIDA
Gas toxic yang serupa berlaku pada asap kereta juga berlaku pada asap rokok. Karbon monoksida dalam badan mengurangkan kemampuan darah untuk menyerap oksigen dari paru-paru. Ini adalah kerana sel darah merah (pembawa oksigen) lebih suka mengambil karbon monoksida daripada oksigen. Lebih banyak anda merokok lebih besar jumlah karbon monoksida menyerap ke dalam aliran darah anda. Ingatlah!

Sumber: laman Info Sihat

Saturday, April 25, 2009

Selamat Datang !


Selamat Datang ke DairyMahsuri.Setiap pengalaman,aktiviti, isu-isu berkaitan akan dipaparkan dari masa ke semasa.Diharap semua pengunjung blog ini mendapat manfaat dari kisah-kisah atau cerita yang kami telah lalui.Baca dengan tenang dan yakin setiap penyakit ada penawarnya.Kita sebagai manusia mesti berusaha dalam apa cara sekalipun selagi diizinkan oleh Allah Yang Maha Esa.